Erra benggang
5:03 AM // 0 comments // Admin // Category: artis //Tidak teragak saman: Mahu lantik peguam siasat status dengan bekas rakan kongsi Ferra Kosmo Look
ADA sesuatu yang terbuku dalam hati pelakon dan penyanyi jelita ini. Selepas sekian lama mendiamkan diri dan menahan sabar, akhirnya kemarahan yang dipendam itu meletus jua. Jika selama ini Erra Fazira boleh bersabar dengan apa yang berlaku, namun menyedari nama dan reputasinya semakin buruk, akhirnya dia terpaksa mendedahkan kepada media rahsia yang sebelum ini disimpan rapi.
Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan majlis pelancaran Sinar Lebaran yang diadakan di MayTower Hotel & Serviced Residences, Jalan Munshi Abdullah di ibu negara baru-baru ini, Erra meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap bekas rakan kongsinya yang pernah menjalankan usaha sama dengannya menghasilkan produk kecantikan dan penjagaan kulit berjenama Ferra Kosmo Look.
Menurut Erra, apa yang membuatkan dirinya tak puas hati adalah biarpun sudah lebih setahun dia menarik diri daripada kolaborasi itu, sehingga kini namanya masih lagi dipergunakan syarikat berkenaan.
"Bayangkan selepas lebih setahun Erra menarik diri, nama Erra masih lagi digunakan untuk produk itu. Dan apa yang membuatkan Erra marah adalah setiap kali mereka membuat masalah, kebanyakan pelanggan merujuk hal itu kepada Erra, walhal Erra sudah tak ada kena-mengena dengan produk itu. Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu boleh menyebabkan nama dan reputasi Erra menjadi buruk.
"Justeru, selepas berfikir masak-masak dan tidak mahu mereka mempergunakan nama Erra untuk kepentingan peribadi mereka, Erra akan melantik seorang peguam untuk menyiasat perkara ini. Dan jika didapati mereka memang sengaja mahu menjatuhkan reputasi Erra dengan cara begitu, Erra tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," cerita Erra sambil ditemani suami tersayang, Engku Emran di sisinya.
Jelas penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara ini, sehingga kini dia sendiri agak kabur dengan statusnya. Apakah permohonannya untuk menarik diri daripada menjadi rakan kongsi itu diluluskan atau sebaliknya?
"Sudah lebih setahun Erra menghantar surat permohonan itu, tetapi sehingga kini, Erra belum mendapat hitam putih mengenainya. Apa yang Erra tahu, selepas Erra menarik diri, Erra dapati produk itu masih lagi dijual dan namanya tidak ditukar. Masih lagi menggunakan jenama Ferra Kosmo Look.
"Sebab utama Erra menarik diri menjadi rakan kongsi kerana Erra sudah dapat merasakan bagai ada yang tak kena terutama dari segi pengurusan kewangan. Malah bayaran yang Erra terima juga tidak seperti yang dijanjikan. Ditambah dengan dibebani pelbagai masalah lain membuatkan Erra mengambil keputusan untuk angkat kaki. Lagi pun, sejak ketiadaan pengurus Erra, Syed, lagilah perniagaan ini menjadi tidak tentu hala," kata ibu kepada Engku Aleesya.
Pun begitu, tegas Erra apabila dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya itu kepada media, itu bukanlah bermakna dia mahu mencari gaduh. Sebaliknya dia sekadar mahu membersihkan namanya yang sudah pun tercemar.
ACARA menyalakan pelita menjadi simbolik kepada majlis pelancaran album Sinar Lebaran.
"Masa Erra minta dilepaskan itu, Erra tak minta pun sebarang ganti rugi daripada mereka. Erra tak mahu duit mereka. Apa yang Erra harapkan adalah mereka tidak lagi menggunakan nama Erra untuk produk itu. Erra tidak mahu teru -menerus dibebankan dengan masalah yang mereka hadapi," kata Erra yang menyanyikan lagu Gema Lebaran, ciptaan Pak Ngah dalam album Sinar Lebaran itu.
JIKA tahun lalu Erra beraya di rumah ibunya di Sungai Choh, Rawang, tahun ini tiga beranak ini akan beraya di rumah keluarga suaminya di utara dan Pantai Timur.
"Nampaknya tahun ini Erra akan beraya di rumah keluarga suami di Pulau Pinang dan Kuala Terengganu. Kira raya kali ini kami pusing satu Malaysialah. Selepas rumah keluarga suami di Pulau Pinang, kami bertolak ke Besut, Kuala Terengganu, keluarga nenek Emran. Puas beraya barulah Erra beraya di rumah emak Erra di Rawang. Ini kali pertama Erra berhari raya bersama keluarga Emran. Mungkin perasaan itu lain sikit, tapi memang tak sabar," ujar Erra dalam nada ceria.
Bercerita mengenai persiapan menyambut 1 Syawal, Erra berkata, dia cukup gembira kerana ini adalah kali pertama dia merayakannya sebagai seorang ibu.
"Perasaan gembira itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Lebih menyeronokkan bila hendak membuat persiapan. Kalau dulu, kehendak diri diutamakan kini, kami lebih teruja untuk membuat persiapan untuk Aleesya. Banyak jugalah pakaian yang dibeli. Lagi pun seronok melihat pakaian bayi perempuan yang sememangnya cantik-cantik," cerita Erra yang kembali langsing selepas menjalani rawatan di sebuah pusat kecantikan.
Biarpun menghadapi masalah untuk mengembalikan tubuhnya kepada bentuk asal, Erra berkata, dia tetap akan berusaha supaya misinya itu berjaya.
"Selalu macam itulah, bila kita tak diet, badan jadi kurus tapi apabila kita jaga makanan, badan naik juga. Pun begitu, itu bukanlah bermakna Erra putus asa. Walau apa pun terjadi, Erra tetap akan berusaha menurunkan berat badan ini. Tak banyak cuma empat kilogram saja," katanya yang sedang dalam proses merakamkan album sulungnya bersama syarikat rakaman SRC.
Selain Erra, majlis pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis SRC yang lain seperti Noryn Aziz, kumpulan Sofaz, Indah Ruhaila serta artis Indonesia seperti Melanie Putria, Revalina S Temat serta Intan Nuraini.
-bharian-
